Covid-19 Sabah: Tiga lagi kluster institusi pendidikan diisytihar di Sabah

Covid-19 Sabah: Tiga lagi kluster institusi pendidikan diisytihar di Sabah

Kota Kinabalu: Tiga lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan membabitkan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah, hari ini.

Tiga kluster terbabit ialah Kluster Simpangan Paitan, Beluran; Kluster Access Menawo, Keningau dan Kluster Bukit Garam, Kinabatangan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ketiga-tiga kluster baharu itu menyumbang sebanyak 75 kes pada hari ini.

Katanya, Kluster Access Menawo di Keningau membabitkan pelajar asrama Institut Pelajaran dan Dakwah Islam Sabah (IPDAS) Keningau.

Beliau berkata, kes indeks ialah seorang pelajar perempuan berumur 21 tahun yang mula bergejala pada 6 Februari lalu sebelum didapati positif Covid-19 selepas menjalani saringan pada hari yang sama.

“Saringan terhadap kontak rapat di asrama yang sama mendapati 11 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif seramai 12 orang. Semua kes berada dalam Kategori dan 2 serta sudah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi berkata, Di Beluran, Kluster Simpangan Paitan dikesan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan Paitan.

Kes indeks, katanya ialah seorang pelajar perempuan tinggal di asrama sekolah berkenaan yang mula mengalami simptom selesma, batuk dan sakit tekak sejak 4 Februari lalu.

“Pelajar itu disaring pada 6 Februari dan didapati positif. Saringan terhadap kontak rapat di asrama yang sama mendapati 22 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif seramai 23 orang dengan semuanya berada dalam Kategori 1 dan 2,” katanya.

Beliau berkata, kluster ketiga yang diisytiharkan hari ini ialah Kluster Bukit Garam di Kinabatangan yang membabitkan warga SMK Bukit Garam 1.

Katanya, kes indeks ialah seorang pelajar perempuan berumur 18 tahun yang menjalani ujian saringan RTK-Ag di Hospital Kinabatangan pada 6 Februari lalu kerana bergejala.

“Pelajar berkenaan mula mengalami simptom sejak 28 Januari lalu dan saringan mendapati dia positif sebelum dirujuk ke Hospital Kinabatangan.

“Saringan ke atas kontak rapat seterusnya mendapati seramai 46 orang lagi dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah didapati positif dengan semuanya juga berada dalam Kategori 1 dan 2,” katanya.

Ia menjadikan sebanyak 22 kluster berkaitan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah sejak Januari lalu, masing-masing 19 fasiliti Kementerian Pendidikan, manakala dua berkaitan institusi pendidikan agama serta satu lagi kolej.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|