Sabah sokong buka sempadan negara mulai 1 Mac dengan SOP ketat

Sabah sokong buka sempadan negara mulai 1 Mac dengan SOP ketat

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) menyokong cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang mengesyorkan pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa perlu mengenakan kuarantin wajib.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, bagaimanapun berkata pembukaan sempadan negara perlu diikuti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengekang penularan varian baharu Covid-19, Omicron di negara ini.

“Pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan.

“Bagaimanapun, SOP yang ketat perlu disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta menjelaskan secara terperinci kepada pemain industri bagi memastikan mereka bersedia sebelum pembukaan sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, KEPKAS juga bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri dalam membuat persediaan awal.

Pada masa yang sama, katanya KEPKAS dapat merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.

Sementara itu, Jafry juga berkata pelancong luar yang mahu ke Sabah disarankan untuk mengambil pelan perlindungan insurans yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan Covid-19.

“Matlamat sekarang ini adalah kita mahu membuka sempadan agar industri pelancongan terus hidup tetapi dalam masa sama memastikan agar penularan Covid-19 dapat dikawal,” katanya.

Katanya, sehingga kini, kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik, manakala cadangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura (VTL) juga masih di peringkat perbincangan dan belum dilaksanakan di Sabah.

“Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan industri pelancongan agar sektor ini kembali menjadi antara penyumbang utama ekonomi di negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|