Kota Kinabalu: Kenaikan harga makanan ayam antara 30 peratus hingga 40 peratus, selain ancaman penyakit yang menjejaskan ternakan itu punca utama penurunan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah.
Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata berikutan kos yang tinggi, penternak mengambil keputusan menyembelih ternakan mereka lebih awal selain banyak yang mati akibat penyakit.
Faktor itu katanya mengakibatkan pengeluaran ayam dan telur ayam berkurangan sekali gus menjejaskan bekalan di pasaran berikutan permintaan yang tinggi berbanding penawaran.
“Peningkatan harga makanan ayam yang diimport adalah disebabkan harga pasaran yang tinggi produk mentah menghasilkan makanan ayam seperti jagung dan kacang soya.
“Akibatnya, penternak terpaksa menyembelih ternakan mereka lebih awal berbanding biasa, menyebabkan gangguan terhadap rantaian bekalan termasuk penurunan pengeluaran telur ayam.
“Bagaimanapun, masalah peningkatan kos pengeluaran ayam dan telur ayam ini bukan hanya masalah di Sabah. Harga bahan mentah haiwan ternakan adalah isu global, bukan isu tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas isu kekurangan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah sejak kebelakangan ini yang menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan bahan makanan itu.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Menteri, berkata penternak ayam di Sabah turut berdepan isu lain yang menyebabkan mereka mengehadkan pengeluaran, termasuk penyakit sampar ayam.
Penyakit itu, katanya gagal diatasi menerusi penggunaan vaksin sedia ada berikutan kehadiran varian baharu virus sampar seperti disahkan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Normah Yusop, baru-baru ini.
Jelasnya, virus berkenaan menyebabkan kematian ayam dalam jumlah yang banyak, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran telur dan daging ayam di Sabah.
“Virus berkenaan turut menyebabkan ayam yang terselamat tidak membesar mengikut saiz biasa, selain kurang menghasilkan telur.
“Lebih memburukkan lagi situasi, penutupan sempadan menyebabkan penternak tidak dapat mengambil pekerja asing untuk memenuhi keperluan tenaga buruh di ladang ternakan.
“Jadi, penternak terpaksa mengurangkan ternakan yang ada mengikut kemampuan tenaga buruh yang mereka miliki ketika ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan kerajaan negeri akan mencari penyelesaian secepat yang mungkin bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan makanan itu dengan kerjasama kerajaan Pusat.
-Deasoka