Eksesais Gempur Bara, uji tahap kompetensi pasukan keselamatan

Eksesais Gempur Bara, uji tahap kompetensi pasukan keselamatan

Semporna: Tahap kompetensi tugas dan peranan pasukan keselamatan dapat diuji menerusi Eksesais Gempur Bara yang diadakan selama lima hari bermula 5 Febuari lalu.

Latihan yang dijalankan secara praktikal itu khusus dalam aturgerak penjajaran menyelamat tebusan yang menggabungkan pembabitan bersama pasukan khusus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Eksesais Gempur Bara yang dijalankan di sekitar perairan Semporna.

Antaranya elemen yang terbabit adalah Grup Gerak Khas (GGK) Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Very Able Troopers 69 (VAT 69) PRDM.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, semua elemen pasukan terbabit adalah khusus dalam melaksanakan operasi di Op Pasir di Pantai Timur Sabah.

Eksesais Gempur Bara membabitkan secara bersama pasukan khusus daripada ATM dan PDRM.

Katanya, objektif eksesais ini adalah bagi memperkasakan jalinan saluran pemerintah MK ATB 2 dengan agensi-agensi keselamatan lain serta pasukan yang sedang beroperasi.

“Pelaksanaan aturgerak secara bersepadu ini adalah bagi mengeratkan lagi kerjasama operasi antara Pasukan Khusus ATM dan PDRM di Pantai Timur Sabah khususnya.

“Selain itu, ia juga bagi menguji tahap kesiagaan aset disamping meningkatkan tahap kompetensi anggota pasukan khusus dalam pelaksanaan Op Pasir,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan eksesais secara gabungan kali ini mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan.

“Ia juga mempamerkan standard serta kemampuan aset serta kredibiliti ATB 2 dalam melaksanakan aturgerak operasi seiring dengan misi dan visi pengoperasiannya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada elemen Quick Reaction Force (QRF) serta seluruh anggota pasukan khusus ATM dan PDRM yang menjayakan eksesais kali ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|