Beaufort: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki dikhuatiri lemas di Kampung Lubuk Weston, di sini, diteruskan hari ini.
Operasi mencari Zulkifli Jambul, 43, yang kini memasuki hari kedua dilaksanakan seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort di lokasi yang terletak sejauh 35 kilometer dari balai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Sabah) berkata, operasi SAR yang bermula jam 7 pagi itu turut dibantu oleh anjing pengesan dari unit K9.
“Beberapa agensi turut terlibat dalam SAR ini termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung.
“Operasi hari kedua dilakukan dengan kaedah (Surface Searching) meliputi kawasan radius pencarian lima kilometer dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, jurucakap berkata mangsa sehingga kini belum ditemui.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di muara sungai di kampung berkenaan.
-Deasoka