Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami ‘Acute Mountain Sickness’ (AMS) di Kilometer 6, Gunung Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa dikatakan sukar untuk bernafas dan perlu mendapatkan bantuan bagi membawanya turun mendapatkan rawatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan Malim Gunung dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ dengan menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, operasi membawa turun mangsa masih dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
-Deasoka