Laluan khas pejalan kaki atasi kesukaran penduduk, pelajar melintas jalan di Taman Putera Jaya

Laluan khas pejalan kaki atasi kesukaran penduduk, pelajar melintas jalan di Taman Putera Jaya

Kota Kinabalu: Pejalan kaki termasuk pelajar sekolah yang melintas jalan raya di laluan Lebuhraya Pan Borneo berhadapan Taman Putera Jaya, Telipok, dekat sini, dinasihatkan supaya menggunakan laluan khas pejalan kaki untuk kemudahan melintas jalan.

Kemudahan berkenaan yang disediakan pemaju projek Lebuhraya Pan Borneo di laluan terbabit sejak akhir bulan lalu berikutan rungutan penduduk Taman Putera Jaya mengenai kesukaran mereka melintas jalan disebabkan pemasangan tembok pembahagi lebuh raya.

Laluan pejalan kaki yang disediakan pihak JKR untuk melintas jalan di hadapan Taman Putera Jaya, Telipok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melalui laman Facebook rasminya, Sektor Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengambil maklum mengenai kebimbangan penduduk taman berkenaan sebelum melaksanakan langkah mengatasinya.

“Untuk makluman, laluan pejalan kaki sementara dengan lampu isyarat bersama kemudahan ‘push stop button’ telah disediakan sejak akhir Disember lalu bagi membolehkan pejalan kaki menyeberang jalan.

“Laluan ini terletak 80 meter dari simpang keluar Taman Putera Jayar,” katanya.

Sehubungan itu, pihak JKR menasihatkan orang ramai supaya mengunakan laluan khas berkenaan untuk melintas jalan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Bagi langkah jangka panjang, katanya sebuah jejantas untuk pejalan kaki (Pedestrian Bridge) akan dibina dalam tempoh pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Kenyataan itu turut berkongsi satu hantaran daripada sebuah akaun Facebook memaklumkan pelajar yang tinggal di Taman Putera Jaya, Telipok yang mahu ke sekolah di Tebobon, Manggatal bertindak membawa kerusi untuk memanjat tembok pembahagi Lebuhraya Pan Borneo di kawasan berkenaan.

Hal itu disebabkan bas sekolah ke Tebobon tidak lagi beroperasi hingga ke taman berkenaan kerana terlalu jauh untuk membuat pusingan ‘U’.

Perkara itu dikatakan berpunca daripada penutupan simpang lampu isyarat Taman Putera Jaya yang turut menjejaskan pergerakan keluar masuk penduduk yang tinggal di taman berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|