Covid-19 Sabah: Acara sambutan tahun baharu dibimbangi cetus kenaikan kes

Covid-19 Sabah: Acara sambutan tahun baharu dibimbangi cetus kenaikan kes

Kota Kinabalu: Acara keramaian sempena sambutan tahun baharu dikhuatiri menjadi punca peningkatan mendadak 92 kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata peningkatan kepada 253 kes itu berbanding 161 kes semalam adalah sesuatu yang membimbangkan

Katanya, lebih membimbangkan, kes harian di Sabah mungkin akan terus tinggi selepas ini jika acara sambutan tahun baharu menjadi punca penularan jangkitan.

“Kita mengharapkan kes yang naik mendadak ini bukan berpunca daripada pelbagai acara sambutan Tahun Baru yang membelakangkan prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang lain.

“Sekiranya acara keramaian menyambut tahun baharu adalah punca kenaikan kes hari ini, tidak mustahil kita akan menyaksikan jumlah kes harian yang lebih tinggi untuk beberapa waktu akan datang,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata lebih banyak daerah mencatat kes baharu yang tinggi hari ini dengan 10 daerah merekodkan kes dua angka berbanding hanya lima daerah semalam.

“Antaranya, Kota Kinabalu (49), Tuaran (29), Kota Marudu (19), Penampang (18) dan Sandakan (15). Cuma daerah Putatan dan Kunak yang tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini.

“Diperhatikan juga bahawa peratusan jumlah kes kategori saringan kontak rapat (45.8 peratus) dan kategori saringan bergejala (43.1 peratus) hampir seimbang hari ini.

“Ini jelas mencerminkan betapa meluasnya virus Covid-19 berada di tengah-tengah masyarakat serta kelalaian ramai orang daripada mematuhi pelbagai SOP,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata 50 daripada 253 kes hari ini atau 19.76 peratus dikenal pasti membabitkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang belum layak menerima vaksin.

Jelasnya, statistik jangkitan yang membabitkan kanak-kanak bawah 12 tahun agak tinggi dan membimbangkan.

“Diharapkan semua ibu bapa dan juga guru di sekolah mengambil langkah dan inisiatif yang boleh mengurangkan risiko jangkitan terhadap mereka yang masih belum layak menerima vaksin,” katanya.

Seramai 248 orang daripada 253 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, dua orang pesakit dalam Kategori 3, manakala seorang pesakit masing-masing dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 11 Januari 2022
Sabah 253 (161)

Kota Kinabalu 49 (29)
Tuaran 29 ( 19)
Kota Marudu 19 (5)
Penampang 18 (13)
Sandakan 15 (3)
Keningau 13 (7)
Kota Belud 13 (15)
Tenom 12 (5)
Ranau 11 (28)
Tawau 10 (7)
Papar 9 (9)
Kuala Penyu 7 (4)
Beaufort 7 (2)
Tambunan 6 (5)
Sipitang 6 (0)
Telupid 5 (1)
Nabawan 5 (0)
Tongod 5 (1)
Lahad Datu 4 (0)
Beluran 2 (0)
Pitas 2 (0)
Kalabakan 2 (0)
Kudat 2 (4)
Semporna 1 (0)
Kinabatangan 1 (0)
Kunak 0 (0)
Putatan 0 (3)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 10 Januari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|