Tumpu pembangunan modal insan untuk capai Wawasan Kemakmuran Bersama – Shahelmey

Tumpu pembangunan modal insan untuk capai Wawasan Kemakmuran Bersama – Shahelmey

Kota Kinabalu: Pembangunan modal insan yang membabitkan generasi muda perlu diberi tumpuan sebagai asas penting dalam usaha negara mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama pada 2030.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia juga penting supaya negara dapat terus dibangunkan dari generasi ke generasi.

Shahelmey merasmikan Program SMART Jawab SPM 2021 anjuran Pusat Khidmat Rakyat dan UPPM Tanjung Keramat, di Putatan.

“Modal insan adalah aset yang penting untuk dibangunkan agar kita dapat bersama-sama membangunkan negeri dan negara kita dan seterusnya mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Generasi muda yang ada pada masa ini adalah pelapis seterusnya untuk memajukan negeri dan negara kita,” katanya ketika merasmikan Program SMART Jawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 anjuran Pusat Khidmat Rakyat dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Keramat, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, menjadi harapan semua pemimpin masyarakat supaya dapat bersama-sama menyumbang ke arah membangunkan modal insan.

Beliau sebelum itu berkata, penganjuran program SMART Jawab SPM 2021 bertujuan untuk mempersiapkan pelajar di Putatan yang bakal menduduki SPM 2021.

“Kami adakan program SMART Jawab SPM 2021 ini untuk memperkemaskan persediaan di tahap akhir pelajar-pelajar bagi menduduki pepriksaan SPM 2021.

“Selain itu, saya juga ingin melihat pencapaian akademik yang baik dalam kalangan penduduk daerah ini agar dapat sama-sama menyumbang ke arah melahirkan modal insan bukan saja untuk Putatan tetapi Sabah dan juga Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Program SMART Jawab SPM 2021 yang diadakan bermula hari ini hingga 19 Januari disertai lebih 650 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2021 pada Mac depan.

Program itu membabitkan dua sekolah menengah di Putatan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau dan SMK Putatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|