Bung Moktar arah MPS baiki segera jambatan gantung usang

Bung Moktar arah MPS baiki segera jambatan gantung usang

Sandakan: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengarahkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) membaiki segera jambatan gantung usang di Kampung Nelayan Tengah, di sini.

Beliau berkata infrastruktur itu tidak wajar dibiarkan dalam keadaan usang memandangkan ia menjadi laluan penting penduduk kampung termasuk murid dan pelajar untuk ke sekolah.

Katanya, jambatan gantung itu perlu dibaiki segera demi keselamatan murid dan pelajar sejurus dimaklumkan mengenai keadaannya yang membahayakan pengguna.

“Saya sudah mengarahkan pihak MPS untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Kerajaan amat mengambil berat perkara seumpama ini, lebih-lebih lagi yang membabitkan keselamatan murid dan pelajar sekolah,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas gambar memaparkan seorang murid sekolah sedang melalui jambatan gantung usang yang membahayakan keselamatan di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan ketika hari pertama sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022, semalam.

Gambar berkenaan menunjukkan keadaan jambatan gantung terbabit yang usang dengan sebahagian strukturnya sudah hilang atau rosak terutama bahagian lantai.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata kerajaan mengambil berat aspek keselamatan pengguna, lebih-lebih lagi yang membabitkan murid sekolah.

“Kemudahan infrastruktur itu di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT). Oleh itu, saya mengarahkan MPS bertindak segera membaiki kemudahan terbabit sebelum apa-apa terjadi kepada murid sekolah di kampung berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|