Ahli sindiket pemalsuan sijil digital vaksinasi ditahan SPRM

Ahli sindiket pemalsuan sijil digital vaksinasi ditahan SPRM

Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas dipercayai mengambil rasuah daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran sijil digital vaksinasi Covid-19 di dalam aplikasi MySejahtera, sekitar Oktober tahun lalu.

Menurut sumber, ahli sindiket berusia 31 tahun terbabit dipercayai memberi wang lebih RM2,000 kepada sukarelawan yang bertugas di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Sabah.

Katanya, ia sebagai balasan untuk mendaftarkan penama-penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin Covid-19 bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi di dalam sistem MySejahtera.

“Suspek ditahan kira-kira jam 1.30 petang tadi di pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan satu operasi yang dilancarkan di daerah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Permohonan reman dijangka akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|