Empat premis dikompaun RM400 gagal letak tanda harga warna ‘pink’

Empat premis dikompaun RM400 gagal letak tanda harga warna ‘pink’

Kota Kinabalu: Empat pemilik premis dikenakan kompaun RM400 selepas gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal sepanjang Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dilaksanakan di negeri ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, sebanyak 4,277 premis di seluruh negeri diperiksa berikutan pelaksanaan SHMKM sejak Jumaat lalu hingga 4 Februari depan.

Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan sepanjang pelaksaksan SHMKM di premis seluruh Sabah. Pix Ihsan KPDNHEP

“Hasil pemeriksaan setakat semalam, empat premis masing-masing dikenakan kompaun RM400 kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dengan nilai rampasan RM267.08,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Georgie menerangkan bahawa SHKMM dilaksanakan adalah sebagai langkah kerajaan untuk menstabilkan harga barangan keperluan ketika ini.

“Selain itu juga ia adalah bagi memastikan bekalan makanan ada di pasaran dan ini adalah komitmen utama kerajaan dalam usaha menanggani peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi SHMKM 2022 dengan tidak menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Peniaga juga diingatkan supaya mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barang kawalan SHMKM, pamerkan tanda harga yang jelas, pastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh pengguna selain terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sabah yang sedang berkuatkuasa.

“Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah SHMKM 2022,” katanya.

Georgie turut menegaskan bahawa pengguna boleh melaporkan kepada KPDNHEP jika ada peniaga yang menjual lebih daripada harga kawalan atau menaikkan harga jualan secara tidak munasabah.

“Pengguna pula dinasihatkan supaya menggunakan hak sebagai pengguna dengan bijaksana dan bertanggungjawab. Pengguna harus sedar kepentingan berbelanja secara berhemah dan tidak perlu membeli secara berlebihan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|