Bot karam: Maritim Malaysia selamatkan 15 kru bot termasuk tujuh pensyarah warga Filipina

Bot karam: Maritim Malaysia selamatkan 15 kru bot termasuk tujuh pensyarah warga Filipina

Sandakan: Berpantang maut sebelum ajal, itu situasi dilalui 15 individu termasuk tujuh pensyarah warga Filipina apabila bot kumpit dinaiki mereka karam sebelum dihanyutkan hingga ke perairan negara.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Ahmad Firdaus Shaari berkata, sebelum kejadian semua mereka sedang dalam perjalanan dari kawasan Bongao, menuju ke Pulau Taganak, Filipina pada 6 Januaro lalu untuk menjalankan kursus.

Seramai 15 mangsa warga Filipina berjaya diselamatkan.

Katanya, ketika dalam perjalanan enjin bot kumpit yang digunakan itu rosak dan bocor menyebabkan bot berkenaan hanyut hingga ke perairan berhampiran Kinabatangan.

“Pasukan Maritim Malaysia yang menerima panggilan kecemasan daripada pasukan keselamatan Filipina berkenaan kejadian itu segara mengesan dan menyelamatkan semua mangsa, pada 8 Januari lalu.

“Syukur, semua mangsa berjaya dikesan pada hari sama sebaik laporan diterima dan ditemui terdampar di pantai di kawasan Kinabatangan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ahmad Firdaus berkata, sebelum ditemui, bot dinaiki semua mangsa yang rosak dibawa arus ombak hingga ke persisiran sebelum masuk ke dalam perairan negara.

“Maritim Malaysia dengan bantuan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyelamatkan semua mangsa termasuk tujuh pensyarah.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Katanya lagi, sebaik diselamatkan, semua 15 individu termasuk tujuh pensyarah dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Sandakan, untuk menjalani saringan Covid-19.

“Hasil keputusan saringan swab test mendapati semua mereka negatif.

“Semalam semua mangsa diserahkan semula kepada pasukan keselamatan Filipina di sempadan perairan antarabangsa Malaysia dan Filipina,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|