PGA Sabah rampas rokok seludup bernilai RM8.7 juta

PGA Sabah rampas rokok seludup bernilai RM8.7 juta

Tawau: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 6.1 juta batang rokok seludup pelbagai jenama membabitkan nilai rampasan RM8.7 juta selepas memintas sebuah lori di tepi jalan Kampung Merotai Besar, Jalan Merotai, di sini, semalam.

Lori jenis Nissan UD ditahan sepasukan task force perisikan Batalion 14, PGA Tawau menerusi Op Kontraban, kira-kira jam 10 pagi.

Suspek ditahan bersama rampasan sebanyak 6.1 juta batang rokok yang berjumlah RM8.7 juta.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan Op Kontraban di Jalan Tawau ke Kalabakan, mengesan sebuah lori warna kuning dengan tertutup kanvas di bahagian belakang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan task force kemudian mengekori lori berkenaan dari Jalan Merotai Besar menggunakan sebuah kenderaan sebelum mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan di tepi jalan Kampung Iban Merotai.

Lori jenis Nissan UD yang ditahan oleh sepasukan task force perisikan Batalion 14, PGA Tawau menerusi Op Kontraban.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemui kotak besar yang berisi rokok seludup pelbagai jenama.

“Rampasan sebanyak 6.1 juta batang rokok yang berjumlah RM8.7 juta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, pemandu lori lelaki berusia 37 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan rokok.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibuat kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan termasuk lori dibawa ke Batalion 14 untuk tujuan dokumentasi.

“Sebaik dokumentasi tangkapan selesai, semua rampasan akan dibawa ke Kastam Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|