Kota Kinabalu: Pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani tidak akan dilepaskan untuk menyertai kelab lain walaupun ditawarkan tempat dalam Liga Serbia oleh sebuah kelab bola sepak di negara itu.
Perkara itu ditegaskan Pengurus Pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir ketika mengulas status Saddil yang dikatakan dilamar sebuah kelab bola sepak Serbia dan meminta Sabah FC melepaskan pemain berkenaan yang sudah bersama Sang Badak sejak musim lalu.
Marzuki mengesahkan ada menerima permohonan dari satu kelab Serbia melalui seorang ejen bagi melepaskan Saddil namun permintaan ditolak kerana kelab terbabit mahukan Saddil secara percuma.
Katanya, yuran perpindahan perlu dibayar oleh kelab negara itu jika mahukan Saddil, memandangkan pemain berkenaan masih terikat dengan kontrak bersama Sabah FC sehingga akhir tahun ini.
Selain itu, katanya Sabah FC tidak boleh menerima permintaan berkenaan disebabkan kesuntukan masa untuk mencari pengganti kuota pemain import Asia Tenggara kerana ia bukan mudah memandangkan kebanyakan liga di Asia Tenggara akan bermula tidak lama lagi.
“Sekiranya kontrak masih ada, proses perpindahan tidak boleh dilakukan secara percuma kerana dalam industri bola sepak profesional perlu ada yuran perpindahan (transfer fee) yang ditetapkan dan dipersetujui kedua-dua kelab.
“Disebabkan itu kita tolak (permohonan melepaskan Saddil). Sabah FC memerlukan dana apabila ‘sign’ pemain baharu, kita juga perlu bayar yuran ejen termasuk yuran pengurusan,” katanya ketika ditemui media selepas selesai sesi latihan skuad Sang Badak di Stadium Likas, Kota Kinabalu, di sini, petang semalam.
Pada masa sama, Marzuki berkata Saddil sendiri juga mengesahkan masih komited bersama Sabah FC dan akan menyertai kem latihan bersama pemain lain bermula Khamis ini selepas selesai menjalani kuarantin wajib di Kuala Lumpur.
Sementara itu, sesi latihan Sabah FC semalam adalah latihan pertama buat tiga tonggak pasukan kebangsaan iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Dominic Tan yang akan bermain bersama skuad Sang Badak pada musim ini.
Marzuki berkata, kehadiran ketiga-tiga pemain berkenaan diharap mampu menguatkan pasukan Sabah FC bagi menghadapi Liga Malaysia tahun ini.
Beliau turut menyatakan gembira dengan persiapan awal yang dilakukan pasukan Sabah FC terutama untuk mewujudkan keserasian dalam kalangan pemain.
“Perubahan ini semakin ketara dan sekarang hanya menunggu beberapa pemain lain selain pemain import yang akan tiba dalam masa terdekat,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran Sabah FC tahun ini, Marzuki berkata, masih terlalu awal untuk pasukan itu menetapkan sebarang sasaran dalam Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan Sabah FC pada kali ini berdasarkan gandingan pemain yang cukup baik selain melakukan persediaan lebih awal berbanding tahun lalu.
-Deasoka