SAR hari kedua, bomba guna anjing pengesan

SAR hari kedua, bomba guna anjing pengesan

Beluran: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di sungai di sebuah ladang, di sini, sedang dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan atas air dan bantuan anjing pengesan dari unit K9 pasukan bomba.

Mohd Ridwan Suprianto Mohd Aidil, 4, disedari hilang kira-kira jam 2.30 petang semalam selepas rakannya hanya menemui selipar mangsa di sungai berkenaan.

Pasukan bomba melakukan operasi SAR mencari kanak-kanak lelaki empat tahun dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di sebuah ladang di Beluran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.15 petang.

Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi yang terletak 17 kilometer dari BBP Beluran.

“Menurut maklumat, mangsa dipercayai tergelincir ketika menjalankan aktiviti mandi di sungai berkenaan bersama kanak-kanak lain dan hanya selipar mangsa ditemui di dalam sungai oleh rakan-rakan mangsa.

“Pasukan bomba segera ke lokasi sebaik menerima panggilan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun mangsa tidak ditemui sebelum operasi ditangguh semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya lagi, operasi SAR mangsa kemudian diteruskan bermula jam 6.53 pagi tadi di sekitar sungai berkenaan.

“Ketika ini operasi sedang dilakukan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 di sekitar sungai terbabit dan maklumat berkaitan mangsa akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|