GRS komited pastikan pembangunan sama rata – Hajiji

GRS komited pastikan pembangunan sama rata – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua komuniti di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sejak membentuk kerajaan, banyak yang sudah dicapai ke arah itu sejajar usaha memenuhi mandat rakyat.

Hajiji memalu gong sebagai pelancaran festival.

Beliau turut berterima kasih terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan termasuk masyarakat Cina dalam usaha bersama membawa kemakmuran di negeri ini.

“Kerajaan GRS mencapai banyak kejayaan sejak mengambil alih pentadbiran dengan mandat penuh daripada rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Hajiji bersama pemimpin USCCAKK diketuai oleh Presidennya, Datuk Susan Wong.

“Saya berterima kasih kepada rakyat, khususnya komuniti Cina atas sokongan berterusan terhadap kerajaan dan komitmen untuk bekerja bersama kerajaan untuk membawa kemakmuran di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Festival Tarian Singa, Unikorn dan Naga Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Persatuan Komuniti Cina Bersatu Sabah Kota Kinabalu (USCCAKK), di sini, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Yong Teck Lee; Presiden USCCAKK, Datuk Susan Wong; Pengerusi Penganjur, Datuk Chua Soon Ping; Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah, Tan Sri Andrew Liew dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia, Tan Sri TC Goh.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri berharap rakyat meneruskan sokongan dengan menjadi rakan bagi merealisasikan agenda pembangunan kerajaan.

“Menjadi aspirasi saya sebagai Ketua Menteri untuk membuka jalan ke arah pembangunan Sabah dan rakyat. Bagi tujuan ini, kita sudah melancarkan halatuju pembangunan lima tahun Sabah Maju Jaya (SMJ) pada tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat yang terbukti menerusi peruntukan sebanyak RM164.12 juta dalam Belanjawan Negeri 2022 bagi agensi berkaitan pendidikan dan badan agama.

Katanya, peruntukan itu memberi manfaat kepada semua kaum dan agma di Sabah sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia.

Jelasnya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan terbesar berjumlah RM47 juta untuk badan keagamaan bukan Islam selain sekolah vernakular dan mubaligh pada tahun ini yang menggambarkan keikhlasannya dalam menjaga kebajikan semua rakyat Sabah.

Sementara itu, Hajiji berkata, sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, beliau percaya semua rakyat Malaysia tidak sabar menyambut Tahun Harimau yang dikenali dengan kekuatan, kehebatan dan keberaniannya terutama selepas melalui cabaran disebabkan pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|