Pindah lokasi kuari tidak selesai masalah pencemaran

Pindah lokasi kuari tidak selesai masalah pencemaran

Pensiangan: Tindakan memindahkan lokasi kuari di Sungai Talangkai, Sepulut, di sini ke tempat lain tidak dapat menyelesaikan isu pencemaran sungai yang dihadapi penduduk di Mukim Sepulut, di sini.

Ketua Cabang Keadilan Pensiangan, Raymond Ahuar berkata, perkara itu sudah dibangkitkan sejak Disember lalu namun sehingga kini belum mendapat maklum balas daripada kerajaan atau pemaju yang melakukan aktiviti berkenaan.

Katanya, laporan terkini yang diterima daripada penduduk kawasan berkenaan memaklumkan penggalian kuari dihentikan di Sungai Talangkai namun aktiviti itu kini dipindahkan ke Sungai Panabaan, Sepulut.

“Sebagai makluman aktviti kuari di Sungai Panabaan, Sepulut itu tidak jauh dari lokasi awal penggalian kuari di Sungai Talangkai iaitu kira-kira 500 meter dan kedua-dua sungai ini adalah dalam satu aliran ke daerah kecil Pagalungan seterusnya ke Kalimantan Utara, Indonesia.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, penggalian berkenaan pasti akan merosakkan sungai yang ada. Adakah tidak ada lagi sumber di darat sehingga sungai yang menjadi sumber kehidupan penduduk setempat perlu digali dan dicemarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Raymond yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah berkata, isu itu disuarakan bukan bersifat peribadi sebaliknya sebagai wakil luahan anak muda dan juga penduduk kampung di kawasan terbabit yang tidak mahu khazanah alam dirosakkan oleh pemaju.

“Selain sumber air bersih, sungai berkenaan menjadi sumber utama makanan iaitu pelbagai jenis ikan sungai yang berpotensi sebagai sumber pendapatan masyarakat di sepanjang sungai itu.

“Dari sudut lain khazanah hidupan air yang terdapat di sungai ini antaranya ikan pait, palian atau dikenali sebagai ikan kelah di Semenanjung atau empurau di Sarawak selain terdapat ikan salarong atau patin sungai.

“Replika ikan salarong yang cukup besar di daerah kecil Pagalungan menjadi kebanggaan masyarakat di sini, pasti menjadi sia-sia.

“Dengan keadaan sungai yang keruh ia akan menghalang ikan ini membiak dan sudah tentu akan mengurangkan spesies ikan di sungai ini jika aktviti itu diteruskan dan tidak dihalang dan sekali gus akan memberi kesan buruk terhadap sistem tagal di sungai berhampiran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan dapat menghentikan aktiviti itu sepenuhnya supaya tidak merosakkan alam sekitar terutama sungai berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|