Pemandu terselamat, kenderaan terjunam gaung dan terbakar

Pemandu terselamat, kenderaan terjunam gaung dan terbakar

Beaufort: Seorang pemandu kereta mewah berdepan detik cemas apabila kenderaannya terjunam ke dalam gaung sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Bypass Bukit Bendera, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, pemandu berusia 37 tahun yang memandu Porsche Panamera itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kenderaan yang terbakar di bawah gaung. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah malam.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Porsche Panamera yang terbakar sepenuhnya.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada kemalangan terbabas sendiri masuk ke dalam gaung setinggi 3 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

Katanya, pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran berkenaan menggunakan satu aliran reel dari jentera bomba.

“Api berjaya dikawal pada jam 12.15 tengah malam sebelum ditamatkan sepenuhnya 25 minit selepas itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|