Kota Kinabalu: Satu persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diadakan bagi membentang dan meluluskan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti selepas ia diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili parti itu sedia mengetuai pembentangan usul berkenaan.
Beliau berkata, pembentangan RUU itu di peringkat negeri perlu dilakukan dalam tempoh dua bulan dari sekarang bagi memastikan undang-undang berkenaan dapat dikuatkuasakan di Sabah.
Katanya, persidangan khas DUN itu perlu memandangkan kelulusan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini tidak merangkumi ADUN di Sabah dan Sarawak.
“Sehubungan itu, adalah penting bagi Sabah dan Sarawak untuk membentangkan undang-undang itu di peringkat negeri masing-masing.
“Satu persidangan khas mesti diadakan untuk meluluskan undang-undang ini di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari dari sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, bagi PBS kelulusan RUU itu umpama impian menjadi kenyataan selepas 37 tahun perjuangannya untuk mewujudkan undang-undang anti lompat.
Sebagai antara perintis dalam mewujudkan undang-undang anti lompat, katanya PBS sentiasa menentang perbuatan seumpama itu dan menganggap amalan lompat ‘katak’ sebagai dosa dan politik tidak berprinsip.
Katanya, PBS cuba menghentikan lompat parti dengan meluluskan undang-undang itu di DUN Sabah pada 1988 bagi menghalang wakil rakyat daripada berpaling tadah tetapi diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.
“Kita bersendirian dalam perjuangan ini tetapi sekarang semua usaha keras kita akhirnya berbayar,” katanya.
Beliau berkata, amalan lompat parti di Sabah bermula seawal 1967 ketika pilihan raya negeri (PRN) yang pertama apabila ADUN Kiulu pada masa itu, Datuk Payar Juman yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun (UPKO) keluar parti dan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Katanya, Presiden UPKO (kini Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) ketika ini, Datuk Madius Tangau, mengulangi sejarah parti itu apabila meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri dengan Parti Warisan (WARISAN) pada 2018.
-Deasoka