KPDNHEP Sandakan bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

KPDNHEP Sandakan bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi

Sandakan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya membongkar kegiatan menyeleweng dan menjual minyak masak bersubsidi kepada industri dan ke negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawa 2, Batu 12, di sini, semalam.

Serbuan jam 7.30 malam itu, sebanyak 15,048 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM37,620 ditemukan di bawah kolong rumah berkenaan.

Azdy (tiga dari kanan) menunjukkan plastik minyak masak peket yang ditemukan dalam serbuan berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, serbuan itu dijalankan seramai tujuh anggota selepas melakukan risikan selama seminggu.

Katanya, ketika serbuan dijalankan tiada sebarang penahanan dilakukan kerana tiada sesiapa di lokasi berkenaan ketika serbuan dijalankan.

Azdy (kiri) memeriksa tangki berisi minyak masak bersubsidi.

“Hasil serbuan menemukan 7,500 kg disembunyikan dalam tangki, 7,412 kg dalam kotak dan 136 kg lagi ditemukan dalam tong.

“Kita percaya minyak masak bersubsidi ini dijual ke industri dan negara jiran,” katanya dalam sidang medianya, hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan itu juga, pelbagai peralatan untuk menyeleweng minyak masak turut ditemui.

Katanya, antaranya mesin pam minyak, gegelung, hos, tangki simpanan dan tong.

“Siasatan awal mendapati kegiatan ini dipercayai sudah dilakukan sejak setahun yang lalu berdasarkan keadaan lokasi berkenaan.

“Pihaknya akan mengesan pemilik rumah atau pemilik tanah terbabit yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, semua barangan berkenaan dirampas dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Terdahulu, KPDNHEP Sandakan berjaya membongkar tiga kegiatan sindiket seleweng minyak masak peket bersubsidi sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|