Tawau: Sebuah rumah kosong yang dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, malam semalam.
PPM Tawau berjaya merampas rokok tidak bercukai bernilai RM13,648 yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, bertindak atas maklumat berkaitan penyeludupan rokok, sepasukan PPM Tawau membuat serbuan rumah kosong di kampung berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemui beberapa plastik hitam dan guni warna putih yang berisi rokok pelbagai jenama.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM13,648.80,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ridzauddin berkata, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan maklumat bagi mengekang jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-9391197.
“Maklumat juga disalurkan dengan berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan tindakan melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.
-Deasoka