Jamawi sokong ibadah umrah ditangguh sementara elak penularan Omicron

Jamawi sokong ibadah umrah ditangguh sementara elak penularan Omicron

Kota Kinabalu: Jemaah umrah yang baru balik dari Arab Saudi menyokong langkah kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran menunaikan umrah dalam usaha mengawal penularan varian Omicron Covid-19.

Seorang jemaah dari Sabah, Jamawi Jaafar, berkata walaupun jemaah berusaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika mengerjakan ibadah itu, ada ketikanya ia sukar dilaksanakan.

Jamawi menjalani kuarantin di Kuala Lumpur selepas balik mengerjakan umrah. Pix ihsan Facebook Jamawi Jaafar Official

“Ada masa dan ketikanya amalan (SOP) sukar dilaksanakan lebih-lebih lagi apabila semakin ramai jemaah sampai daripada pelbagai negara.

“Persatuan pengendali umrah bolehlah berdialog dan berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperhalusi beberapa SOP baharu sebelum ibadah umrah ini diteruskan.

“Pandangan daripada jemaah umrah yang baru balik juga boleh diambil kira,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) bersama isterinya masih menjalani kuarantin yang memasuki hari ketujuh di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan keputusan untuk menangguhkan sementara aktiviti umrah bagi mengekang jangkitan dan penularan varian Omicron berkuatkuasa mulai 8 Januari ini.

Sementara itu Jamawi berkata beliau dan isteri disahkan negatif ujian saringan Covid-19, namun seramai 21 daripada 24 jemaah umrah dalam kumpulan yang disertai mereka sebelum ini dilaporkan positif virus berkenaan.

“Saya juga dapat maklumat kumpulan jemaah yang lain juga terdapat kes positif Covid-19 yang agak tinggi apabila keputusan ujian saringan PCR oleh KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) keluar,” katanya.

Katanya, beliau juga bersyukur apabila pihak berkuasa Arab Saudi mula melaksanakan semula penjarakan satu meter dan penggunaan pelitup muka bermula 29 Disember lalu di Mekah dan Madinah.

Dalam pada itu, Jamawi menyatakan harapannya agar jemaah yang sedang dikuarantin dan yang akan sampai ke tanah air selepas selesai mengerjakan umrah supaya bersabar dengan situasi yang dihadapi.

“Anggaplah ini dugaan untuk kita. Janganlah kita marah dengan petugas KKM di pusat kuarantin atau di pintu masuk negara (KLIA).

“Mereka sedang usahakan yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia. Perkhidmatan kuanter KKM di KLIA juga semakin baik dengan penambahan kaunter baharu dan kerajaan juga sudah buka beberapa pusat kuarantin tidak berbayar untuk jemaah umrah yang balik.

“Saya juga ucapkan berbanyak terima kasih kepada YAB Ketua Menteri Sabah dan kerajaan negeri Sabah yang menanggung kos penginapan kuarantin jemaah Sabah bermula 30 Disember lalu di beberapa hotel di Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan balik ke KK. Usaha ini banyak meringankan bebanan jemaah umrah Sabah,” katanya.

Jelasnya, Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur juga sudah digerakkan membantu rakyat Sabah yang balik dari luar negara, termasuk jemaah umrah untuk menjalani kuarantin wajib tujuh atau 14 hari di Kuala Lumpur.

Katanya, usaha dibuat untuk mengelakkan penularan Covid-19 varian Omicron ke Sabah kerana masa agak lama diambil untuk ujian ‘whole genome sequencing’ bagi varian itu di makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Kerajaan negeri sebelum ini mewajibkan rakyat Sabah yang baru balik dari luar negara termasuk yang mengerjakan umrah untuk menjalani kuarantin wajib di di Kuala Lumpur sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke negeri ini.

Semalam, kerajaan negeri turut mengumumkan kes pertama jangkitan Covid-19 varian Omicron di negeri ini yang membabitkan seorang jemaah umrah dari Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|