Kota Kinabalu: “Ketika itu rumah bergegar dan saya bersama ibu serta adik cuba menahan pintu dari diterbangkan angin kuat, namun beberapa saat selepas itu, rumah kami terus roboh ke dalam laut”.
Demikian kata Shahrahim Masahut, 23, salah seorang mangsa ribut di Kampung Lobong, Pulau Gaya, di sini, semalam.

Shahrahim berkata, dia bersama adiknya terus membawa ibunya keluar daripada rumah dan pergi ke kawasan selamat.
Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, rumah yang didiami keluarganya selama lebih 20 tahun itu antara 38 rumah yang terjejas teruk akibat ribut yang disusuli hujan lebat.

Kejadian itu turut menyebabkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya rosak selepas beberapa bilik darjahnya roboh.
Menceritakan lanjut detik cemas itu, Shahrahim berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya berusia 50-an dan adik lelakinya berysia 17 tahun sedang berehat di ruang tamu sebelum rumah tiba-tiba bergegar akibat angin kencang.

“Ketika itu, ibu mengarahkan kami menyelamatkan dokumen penting. Dalam dua minit selepas itu pintu rumah hampir diterbangkan sebelum saya bersama ibu dan adik menahannnya.
“Saat itu juga, rumah bergegar dan atap diterbangkan angin sebelum rumah roboh ke laut. Syukur ibu dan adik saya selamat, meskipun semua harta benda musnah akibat kejadian itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sejumlah RM55,000 diperuntukan kepada penduduk di loma kampung di Pulau Gaya selepas kediaman mereka terjejas teruk dalam kejadjan angin kencang, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, sumbangan itu disampaikan Majlis Ugama Islam Sabah dan selebihnya dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

“Kita haraplan bantuan ini dapat meringankan began kepada 12 keluarga di lima kampung yang terjejas.
“Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) juga akan mengenal pasti secara lebih terperinci bagi menyalurkan sebarang bantuan yang diperlukan penduduk selepas ini,” katanya selepas meninjau keadaan di kampung berkenaan, hari ini.
Dalam pada itu, Shahelmey juga melakukan tinjauan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, di SMK Pulau Gaya yang turut terjejas dalam kejadian berkenaan.
“Angin kencang turut menyebabkan dua blok bilik darjah mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat digunapakai untuk sesi pembelajaran.
“Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi merancang penempatan pelajar untuk memastikan proses pembelajaran tidak terganggu lebih-lebih lagi tahun hadapan mereka akan berhadapan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Katanya, beliau juga akan memanjangkan perkara ini dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi mendapatkan inisiatif lain yang boleh membantu kira-kira 8,000 pelajar terjejas.
-Deasoka