Risiko tanah runtuh di Bukit Nenas masih tinggi

Risiko tanah runtuh di Bukit Nenas masih tinggi

Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengenalpasti lokasi tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas masih berisiko tinggi berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, tinjauan JBPM di lokasi runtuhan mendapati kawasan berkenaan masih dihuni beberapa keluarga.

Namun katanya, pihak bomba sudah menasihatkan supaya berpindah dengan kadar segera bagi mengelakkan kemungkinan berlaku sama sehingga mengorbankan nyawa.

“Kita juga sudah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk menilai semula situasi keselamatan di kawasan ini.

“Oleh itu, bomba memberi peringatan secara amnya kepada orang awam atau penduduk yang tinggal berhampiran cerun bukit mahupun sungai agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling terutama ketika hujan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Farhan Sufyan berkata, setakat ini hanya sebuah rumah berdekatan runtuhan dilihat berisiko tinggi namun pihaknya meminta penduduk mengosongkan kediaman masing-masing.

Katanya, ia perlu dilakukan sehingga kerja penilaian keselamatan selesaikan dilaksanakan agensi kerajaan berkenaan.

Dalam kejadian semalam, dua kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera tertimbus tanah runtuh.

Mangsa Isa Sabri, 2 dan Norain Jaziz, 11, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) manakala mangsa yang cedera iaitu Siti Nur, 28, parah patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan di hospital sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|