Kerajaan negeri utama lahir modal insan berdaya saing, berkualiti

Kerajaan negeri utama lahir modal insan berdaya saing, berkualiti

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap aspek pendidikan bagi melahirkan lebih ramai modal insan berdaya saing, berketrampilan dan berkualiti tinggi di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sejajar dengan itu kerajaan akan terus menyokong Jabatan Pendidikan Sabah dalam meningkatkan lagi kecemerlangan dan melonjakkan prestasi pendidikan di negeri ini khususnya berkaitan pembangunan modal insan.

Hajiji diiringi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman (dua kiri) menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah.

“Kita mahu melahirkan modal insan berdaya saing yang mampu membantu menjayakan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Sebab itu, selain sektor utama pertumbuhan dan pemulihan ekonomi diberi tumpuan dalam pelan (SMJ), kerajaan juga fokus kepada teras kedua dalam pelan berkenaan iaitu pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebab itu pelbagai usaha sudah dan sedang diambil untuk memastikan anak -anak Sabah tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan di negeri ini. Ia termasuklah pemberian biasiswa seperti Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

“Pada tahun ini juga, kerajaan negeri telah melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), yang antaranya bertujuan memberikan bantuan pendidikan khusus untuk anak Sabah daripada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran ke IPT dengan dana permulaan sebanyak RM54.5 juta,” katanya ketika merasmikan Majlis Hari Guru Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran Kali Ke-51, Tahun 2022, di sini, hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga telah memperkenalkan beberapa pakej insentif melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, bagi membolehkan anak-anak Sabah meneruskan persekolahan mereka.

Pelaksanaan pakej insentif itu katanya, dijalankan melalui program bantuan pendidikan yang telah dilaksanakan dengan peruntukan RM24 juta pada 2021 seperti Program Bantuan Institusi Pengajian Tinggi, Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Program Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Program Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI).

“Pakej Insentif seperti BAIK, BAKTI dan BUDI juga diteruskan dan menambah inisiatif bantuan berjumlah RM35 juta pada tahun ini. Semua usaha ini dibuat sebagai tanda pengiktirafan terhadap kecemerlangan anak-anak Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, beliau turut tertarik dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang menerapkan nilai, etika, kerohanian dan identiti nasional bagi melahirkan insan yang boleh menyumbang kepada kemakmuran negara, masyarakat, negara dan komuniti global amnya.

“Saya difahamkan pelaksanaan konsep ini akan diterapkan menerusi pengajaran dan pembelajaran oleh guru kepada murid, selain juga dilaksanakan secara holistik bersama di dalam dan di luar sekolah.

“Oleh yang demikian, jika ia dapat diterjemah dalam bentuk pelaksanaan yang serius, sudah pasti ia akan membawa kesan yang positif kepada kemenjadian murid sebagai aset negara yang berharga.

“Saya percaya generasi yang dilahirkan oleh guru-guru ini bukan sahaja berilmu malah memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau menambah tanggungjawab seorang guru sangat mulia dan wajar dihargai sepanjang zaman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|