HUMS, Cardiff University jayakan intervensi ACT untuk ibu mengandung di klinik luar bandar

HUMS, Cardiff University jayakan intervensi ACT untuk ibu mengandung di klinik luar bandar

Kota Kinabalu: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Cardiff University School of Psychology mengadakan intervensi Terapi Penerimaan dan Komitmen (ACT) untuk kesihatan ibu dan anak (Perinatal Health) bermula Jun lalu hingga Oktober depan.

Pengarah HUMS, Prof Dr Helen Lasimbang berkata, intervensi yang merangkumi dua fasa itu melibatkan ibu mengandung dan staf HUMS serta dua buah klinik kesihatan.

“Fasa pertama merangkumi 25 kakitangan HUMS dan Klinik Kesihatan (KK) Sikuati, Kudat yang telah menjalani latihan secara dalam talian melalui program yang dinamakan Training of Trainers baru-baru ini.

“Dalam fasa kedua, 250 ibu mengandung di KK Sikuati, KK Tamparuli dan HUMS menerima intervensi ACT secara berkumpulan selama 10 minggu bermula Ogos ini sehingga Oktober depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, intervensi psikologi untuk ibu dan anak itu diadakan julung kalinya di Sabah yang dibuat secara besar-besaran.

Katanya, projek intervensi itu juga pertama kali ditawarkan di kawasan desa atau luar bandar di negeri ini.

“Ia selaras dengan salah satu bidang tujahan atau niche area HUMS iaitu healthcare uberisation, yakni membawa perkhidmatan kesihatan kritikal ke pesakit, bukannya menunggu pesakit datang ke hospital,” katanya.

Dr Helen turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi merealisasikan program berkenaan.

“Setinggi penghargaan kepada dua pakar dari Cardiff University School of Psychology iaitu Dr Cerith Waters dan Dr Jennifer Berrett kerana bersama-sama dengan HUMS bagi menjayakan projek ini.

“Terima kasih juga kepada Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri dan Psikologi HUMS, Dr Farahin Musa selaku pengelola projek.

“Sesungguhnya, adalah menjadi harapan HUMS untuk terus memainkan peranan dalam usaha memanjangkan intervensi ini kepada semua perkhidmatan ibu dan anak, tidak kira di bandar atau desa, mahupun di hospital atau di klinik desa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|