Semporna: Sebuah masjid di Kampung Pulau Larapan Hujung, di sini, dilaporkan musnah terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, masjid jenis separuh kekal berkeluasan 185 meter persegi berkenaan terbakar hampir 90 peratus keseluruhan strukturnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 pagi.
Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama bot kevlar terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan.
“Operasi pemadaman yang menggunakan sumber air dari laut terbuka berkenaan akhirnya berjaya mengawal api kebakaran pada jam 5.50 pagi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.04 pagi.
Katanya, siasatan lanjut berhubung punca kejadian serta jumlah kerugian masih sedang giat dijalankan pasukan forensik JBPM.
-Deasoka