11 CSI, 20 syarikat kecil beri peluang pekerjaan kepada banduan di Sabah

11 CSI, 20 syarikat kecil beri peluang pekerjaan kepada banduan di Sabah

Kota Kinabalu: Sebanyak 11 syarikat Corporate Smart Internship (CSI) bekerjasama dengan Jabatan Penjara Sabah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan yang sedang menjalani program pemulihan di seluruh negeri ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata ia tidak termasuk Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang turut menyediakan peluang sama bekerja di ladang sawit miliknya di Sabah.

Dr Joachim (empat kanan) dan Jonathan (empat kiri) pada Program Outreach KJP bersama CSI dan majikan di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pada masa yang sama sebanyak 20 syarikat kecil lagi yang beroperasi di seluruh negeri turut menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan di negeri ini.

Katanya, apa yang membanggakan, sebuah daripada syarikat atau majikan yang bekerjasama dengan Jabatan Penjara Sabah menerusi Program Pemulihan Luar Tembok itu dimiliki oleh bekas banduan sendiri.

“Saya dimaklumkan pemilik syarikat itu turut bersama dengan kita pada pagi ini. Tahniah kepada Jabatan Penjara kerana telah membuktikan bahawa program pemulihan yang dibuat selama ini menampakkan hasil sekali gus mengurangkan stigma masyarakat bahawa bekas penghuni tidak boleh berubah serta tidak insaf.

“Diharap ianya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas banduan. Teruskanlah mencurahkan bakti dengan penuh keikhlasan, integriti dan amalkan budaya kerja cemerlang untuk mentransformasikan penjara sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya Kemanusiaan.

“Kita berharap agar lebih ramai lagi bekas banduan yang berjaya pada masa akan datang. Pihak kerajaan negeri melalui kementerian saya sentiasa bersedia membantu dari segi khidmat bimbingan kepada penghuni untuk memulakan perniagaan sebagai usahawan di pelbagai sektor industri,” katanya ketika merasmikan Program Outreach KJP bersama CSI dan majikan, di sini, hari ini.

Turut hadir Tumbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yassin; Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad; Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisham Abd Rahman; Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abd Razak; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Benedick Bisoni dan Pengarah Penjara Sabah Labuan, TKP Nora Musa.

Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata kementeriannya juga akan berusaha membuka peluang pekerjaan dalam kalangan penghuni penjara bermula daripada agensi-agensi di bawahnya

“Saya akan mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk membuat tindakan susulan ke atas perkara ini. Oleh itu saya mohon Jabatan Penjara Sabah untuk mengadakan sesi perjumpaan dengan semua syarikat swasta di bawah seliaan kementerian saya untuk mendapat maklumat lanjut,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan semua penghuni penjara yang bakal menyertai Sistem Parol dan Pembebasan Berlesen adalah warga tempatan, mereka wajar diberi keutamaan dari segi peluang pekerjaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada buruh warga asing.

Terdahulu, beliau menjelaskan, Jabatan Penjara sememangnya telah lama menjalankan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang terdiri daripada Sistem Parol iaitu Orang Yang Diparol (ODP), Pusat Kehadiran Wajib (PKW), Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dan Pusat Reintergrasi Penghuni (PRP).

“Secara umumnya, Sabah telah melepaskan lebih kurang seramai 3,885 penghuni daripada tembok penjara ke dalam komuniti iaitu ODP sahaja sejak Sistem Parol ini di laksanakan iaitu pada awal tahun 2008 lagi.

“Syabas dan tahniah Jabatan Penjara atas usaha yang murni dan proaktif ke arah menjadikan jabatan ini selaku peneraju Sistem Koreksional yang terulung di Malaysia sesuai dengan Visi Jabatan Penjara itu sendiri iaitu sebagai Peneraju Perkhidmatan Korektif di Malaysia dan semoga ia akan menjadi sebuah organisasi koreksional bertaraf dunia yang terbilang,” katanya.

Sementara itu, sebagai menyokong usaha Jabatan Penjara, Dr Joachim turut mengesyorkan agar hasil kerja tangan bengkel atau produk makanan dihasilkan penghuni penjara seluruh Sabah dijual setiap hari di pusat-pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mengikut daerah berdekatan dengan institusi penjara.

“Kita mempunyai Pusat IKS di Kota Kinabalu, Beaufort, Papar dan Ranau. Pada masa akan datang Pusat IKS juga akan dibuka lagi di daerah Kota Merudu, Tuaran, Tawau dan Keningau.

“Sekiranya tidak melanggar peraturan penjara kita akan menjemput Jabatan Penjara untuk mempamerkan hasil-hasil penghuni di ekspo-ekspo yang kementerian saya anjurkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|