Dua lori bertembung, dua tersepit

Dua lori bertembung, dua tersepit

Kunak: Dua lelaki terselamat selepas lori 10 tan yang dinaiki bertembung dalam kejadian di Jalan Madai berhampiran Ladang Borneo Samudera, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, kedua-dua mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk hadapan lori berkenaan.

Pemandu yang cedera diberi rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 pagi.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua lori 10 tan yang membawa muatan sawit bertembung sesama sendiri selepas dipercayai hilang kawalan dan terdapat dua mangsa tersepit.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.46 tengah hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|