Pelanjutan kuatkuasa Subseksyen 4(5) SOSMA: Ketepi perbezaan fahaman politik, sentimen parti

Pelanjutan kuatkuasa Subseksyen 4(5) SOSMA: Ketepi perbezaan fahaman politik, sentimen parti

Kuala Lumpur: Semua pihak seharusnya mengenepikan perbezaan fahaman politik dan sentimen parti atau peribadi berhubung pelanjutan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dibentangkan semula dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berkata usul untuk pelanjutan kuatkuasa Subseksyen 4(5) bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini penting untuk siasatan kes-kes yang melibatkan aspek teknikal dan saintifik serta turut memerlukan masa dan ketelitian.

Katanya, langkah dilakukan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengemukakan usul untuk membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat bertarikh 23 Mac lalu bagi membolehkan ia dibentangkan semula adalah tindakan yang sangat tepat.

Beliau berkata, ia kerana kesalahan yang ada dalam Jadual Pertama SOSMA adalah jelas merupakan kesalahan-kesalahan besar yang melibatkan kesalahan keselamatan dan mustahil boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam seperti kes-kes jenayah lain dalam Kanun Keseksaan.

“Siasatan kes-kes keselamatan adalah rumit dan memerlukan masa untuk dilengkapkan terutamanya bagi mendapatkan keterangan daripada orang yang ditahan dan bagi mengesan rakan-rakan sejenayah yang masih bebas.

“Siasatan kes terutamanya bagi kesalahan keganasan yang bersifat rentas sempadan memerlukan bantuan bersama dalam perkara jenayah daripada negara luar dan ini memerlukan masa yang lama.

“Sebab itulah semua pihak seharusnya mengenepikan perbezaan fahaman politik dan sentimen parti atau peribadi untuk menyokong sepenuhnya usul ini bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara tercinta ini akan dapat terus dipelihara,” katanya pada perbahasan mengenai usul pelanjutan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Negara pada 27 Julai lalu.

Pada 26 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul Rang Undang-Undanhmg (RUU) berkenaan selepas keputusan undian belah bahagian dengan seramai 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 88 Ahli Parlimen tidak menyokong dan 21 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kelulusan usul itu membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Jaziri berkata, SOSMA digubal bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya, selain turut memperuntukkan langkah-langkah khas berhubung kesalahan keselamatan.

Ia juga digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, ternasuk ancaman-ancaman baharu yang merentas sempadan.

“Antara perkara yang dianggap ancaman di bawah SOSMA antaranya menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu dan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;

“Selain itu ia juga merangkumi perkara yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang dan Parlimen berpendapat bahawa adalah perlu tindakan itu dihentikan,” katanya.

Jelasnya, SOSMA yang berkuat kuasa sejak 22 Jun 2012 turut menyediakan langkah-langkah khas bagi menangani ancaman kedaulatan negara dan mengekalkan ketenteraman awam, berikutan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

Oleh itu, katanya lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi mengekalkan tempoh tahanan 28 hari yang diluluskan menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat adalah sangat tepat dan betul demi mengekalkan kesejahteraan rakyat negara ini.

Dengan itu, beliau berkata subseksyen berkenaan akan terus berkuat kuasa selama lima tahun lagi selepas tarikh tamatnya pada 31 Julai ini.

“Sebelum ini banyak telah kita lihat bahawa pelaksanaan Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta 747 sering dikecam oleh beberapa pihak kerana didakwa zalim.

“Ia malah disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan oleh kerajaan pada 22 Jun 2012 walaupun kedua-duanya jauh berbeza.

“Namun hakikatnya banyak negara lain seperti Singapura dan Amerika Syarikat hingga sekarang masih menguatkuasakan akta seumpama ISA.

“Kita juga perlu maklum bahawa SOSMA sebenarnya sangat berbeza daripada ISA kerana prosedurnya yang lebih ketat dan tidak boleh digunakan untuk membuat tahanan politik.

“Ini terkandung dalam subseksyen 4(3) yang menyebut ‘Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya’,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mengikut subseksyen 4(9), pegawai polis yang menjalankan penyiasatan itu hendaklah mengemukakan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya pada hari ke-21 tahanan ditahan.

Katanya, ia bermakna pihak polis sebenarnya mempunyai masa yang pendek iaitu hanya 20 hari sahaja untuk membuat siasatan yang mana tahanan ada akses kepada peguam dan selepas itu akan dibicarakan di mahkamah terbuka.

Jelasnya, ia jauh berbeza daripada ISA di mana tempoh tahanan dibenarkan selama 60 hari, selain tiada akses kepada peguam dan selepas itu perintah tahanan dikeluarkan tanpa bicara.

Tambahnya, Subseksyen 4(11) juga menyebut Subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan jika suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|