Lahad Datu: Seorang remaja lelaki ditahan kerana disyaki menjadi pengedar dadah dalam serbuan Op Cegah PATI (OCP) di simpang masuk Kampung Puyut, Jalan Pantai, di sini, semalam.
Remaja berusia 17 tahun itu bersama dadah jenis syabu dengan berat 2.90 gram ditahan anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), jam 1.15 tengah hari ini.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika menjalankan penugasan OCP di kawasan berkenaan menahan seorang remaja yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan suspek dengan sendirinya menyerahkan dengan menggunakan tangan kanan satu peket plastik lutsinar.
“Pemeriksaan ke atas plastik terdapat 17 peket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2.90 gram dianggarkan bernilai RM290.
“Turut ditemui 25 gulung kertas timah (foil). Anggota operasi turut merampas motosikal ditunggang suspek dan nilai keseluruhan rampasan RM3,290,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rani berkata, seterusnya suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
-Deasoka