Lelaki maut motosikal terbabas dalam parit

Papar: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Kuari, Kampung Benoni, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha MT250 dipercayai terbabas sendiri sebelum ditemui tidak sedarkan diri.

Motosikal dipercayai milik mangsa terbabas ke dalam parit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.58 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) terus dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa dari parit berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati mangsa dalam keadaan tertindih oleh motosikal miliknya.

“Pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa keluar dari parit berkenaan sebelum diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.10 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|