Kota Kinabalu: UMNO bersetuju mengenai keperluan untuk mengadakan perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembahagian kerusi Parlimen bagi mengelak pertembungan sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perkara itu disuarakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang menyifatkan perkara itu penting bagi mengelak sebarang masalah terhadap kedudukan kerajaan GRS-BN selepas PRU-15 nanti.
Beliau berkata, walaupun sukar untuk semua pihak mencapai kata sepakat berhubung perkara itu, namun perbincangan perlu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat demi masa depan kerajaan GRS-BN.
“Kita ada 25 kerusi Parlimen di Sabah, jadi kita akan duduk berbincang dengan GRS untuk memastikan tiada pertembungan di antara GRS dan BN. Kalau boleh dielak, kita akan elak.
“Cuma, kita lihat ‘trend’ sekarang, kita nampak masing-masing mahu menuntut kerusi yang ingin ditandingi, jadi ini bukan mudah. Namun, saya akan duduk juga berbincang dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Sebab kalau berebut, lepas PRU nanti kerajaan negeri juga akan tergugat, jadi ini perlu difikirkan. Saya tahu ini bukan mudah tapi kita akan cuba juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan GRS-BN pada PRU-15 yang dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, UMNO mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini, iaitu selepas memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang tamat pada 31 Julai depan.
“Tanpa MoU ini bermaksud PRU-15 memang akan diadakan. Ia bukan atas kehendak untuk membentuk kerajaan semata-mata tetapi turut melihat keadaan ekonomi negara.
“Sekarang pelabur kurang datang kerana mereka lihat keadaan politik di Malaysia ‘fragile’ (tidak stabil) sebab jika mana-mana parti tarik diri, kerajaan dan Perdana Menteri akan gugur.
“Jadi akan bertukar lagi kerajaan sedangkan sebelum inipun sudah tiga kali kerajaan negara kita bertukar. Keadaan ini tidak baik untuk negara,” katanya.
Sehubungan itu, katanya PRU-15 perlu diadakan segera bagi membentuk sebuah kerajaan yang teguh untuk menstabilkan negara.
Beliau berkata, soal masih terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya tidak timbul memandangkan tempoh Parlimen sekarang akan berakhir pada Mei tahun depan, tidak sampai setahun lagi jika PRU-15 diadakan selepas Julai nanti.
“Lagipun, kerajaan yang ada sekarang bukan atas mandat rakyat, jadi memang perlu untuk mengadakan PRU dan UMNO berpendapat ia mesti diadakan pada tahun ini,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya sempena majlis berbuka puasa itu, Bung Moktar berkata UMNO Sabah sudah mengarahkan semua bahagiannya di negeri ini untuk terus mendekati akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa.
-Deasoka