Rakyat perlu yakini pelan SMJ: Ketua Menteri

Batu Sapi: Rakyat di negeri ini diseru untuk terus menyakini pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam membangunkan Sabah yang berdepan cabaran demi cabaran selepas pasca pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini memandangkan kerajaan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) menggunakan slogan tersebut untuk menentukan hala tuju ke depan membangunkan negeri Sabah.

Hajiji (tengah) mengagihkan sumbangan kepada masyarakat di Batu Sapi bersempena majlis berkenaan.

“Hala tuju ini, adalah berpandukan aku janji kita, manifesto kita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu GRS/BN semua aku janji dan manifesto yang ditawarkan kepada rakyat, kita masukkan dalam SMJ ini.

“Maknanya, kita melakukan sesuatu demi masa hadapan rakyat Sabah adalah berpandukan aku janji dan manifesto pilihan raya yang kita telah sama-sama persetujui.

“Ini bermakna, kita terus mangambil tindakan yang proaktif untuk memastikan bahawa setiap kita rancangkan ini akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya bersempena majlis Iftar Rakyat bersama masyarakat Batu Sapi, Sandakan, petang tadi.

Hadir sama adalah Ketua Penerangan Bersatu Sabah merangkap Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Mengupas isu politik di parlimen Batu Sapi, Hajiji mendedahkan, GRS/BN bersedia menghadapi cabaran dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Saya berharap di Parlimen Batu Sapi ini, Insyallah dalam pilihan raya akan datang, pilihan raya parlimen tidak lama lagi atau tahun hadapan, tetapi kerajaan GRS/BN sudah bersedia.

“Kita berharap, di Batu Sapi ini kita akan berhadapan dengan pilihan raya menerusi kerjasama gabungan GRS dan BN, saya yakin Insyallah Parlimen Batu Sapi ini, kita akan menangi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|