Kota Kinabalu: Hilang konsentrasi selain leka dengan tiga kemenangan terdahulu menjadi antara punca Sabah FC tewas 2-0 di tangan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Kumpur, Cheras, malam tadi.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berikutan itu mengingatkan pemain supaya bangkit semula dan fokus serta konsisten bagi menghadapi perlawanan yang lebih penting selepas ini.
Beliau turut mengingatkan pemain Sabah FC supaya tidak mengulangi kesilapan sama jika ingin mencapai keputusan yang baik dalam Liga Super musim ini dengan membawa pulang tiga mata dalam setiap perlawanan.
“Kita tewas atas kesilapan sendiri. Malam tadi kita lihat pemain kurang konsentrasi sehingga memberikan sepakan percuma kepada KL City FC menyebabkan pasukan dibolosi dengan jaringan pertama oleh Romel Morales pada minit ke-36.
“Separuh masa kedua kita bangkit hampir menguasai permainan. Kita mendapat banyak peluang namun gagal disempurnakan. Penjaga gol KL City bermain begitu baik malam tadi.
“Ini faktor utama di mana kita tidak dapat menjaringkan gol selain mengulangi kesilapan sendiri sehingga menyebabkan kita tewas mengejut malam tadi,” katanya.
Kim Swee turut mengingatkan anak buahnya masih terlalu awal untuk berpuas hati dengan pencapaian pasukan setelah berada di tangga kedua liga sebelum sepak mula menentang KL City FC.
Mengenai ketiadaan pemain import Neto Pessoa, Kim Swee mengakui terdapat kelemahan yang ketara di bahagian serangan apabila pemain itu tidak diturunkan malam tadi.
“Bagi saya dalam bola sepak apabila kita lebih berdisiplin dan mempunyai percaturan taktikal yang baik, ini akan berlaku dan kita harus bangkit dan tidak mengulangi kesilapan sama selepas ini,” katanya.
Secara keseluruhannya bahagian pertahanan Sabah FC bermain agak baik namun kehilangan konsentrasi dan kesilapan di minit-minit akhir perlawanan menyebabkan gawang Sabah sekali lagi dibolosi tendangan Romel Morales pada minit ke-88 untuk gol keduanya sekali gus memberikan tiga mata kepada KL City FC.
-Deasoka