Potong kenderaan lain di hadapan punca guru wanita maut dalam kemalangan

Potong kenderaan lain di hadapan punca guru wanita maut dalam kemalangan

Kinabatangan: Pemandu pacuan empat roda memintas sebuah kenderaan lain di hadapan disyaki punca berlakunya kemalangan sehingga menyebabkan seorang guru wanita maut dalam kejadian di Kilometer 98 Jalan Sandakan-Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat rempuhan dari arah hadapan pacuan empat roda terbabit.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 3.18 petang.

Katanya, dilaporkan satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu jenis Perodua Kenari yang dipandu seorang wanita yang juga merupakan warga pendidik manakala sebuah lagi jenis Toyota Fortuner dipandu lelaki yang juga kakitangan Kesihatan Sandakan berusia 53 tahun.

“Punca kejadian dipercayai Toyota Fortuner memotong kenderaan lain dan bertembung dengan Perodua kenari yang berada tepat dilaluannya dan menyebabkan kedua-dua kenderaan masuk ke dalam semak di sebelah tepi kiri jalan.

“Akibat kejadian itu, pemandu Perodua Kenari telah mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Kinabatangan manakala pemandu Toyota Fortuner hanya cedera ringan sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk saringan ujian covid-19 dan dibedah siasat.

“Sampel darah kedua-duanya telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|