Pondok dijadikan ‘port’ hisap syabu diserbu

Pondok dijadikan ‘port’ hisap syabu diserbu

Tawau: Cubaan seorang lelaki disyaki penagih dadah melarikan diri daripada polis selepas ‘port’ menghisap dadah di sebuah pondok di kawasan Kampung Wakuba, di sini, diserbu gagal apabila suspek berjaya ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu, semalam.

Serbuan jam 12.40 tengah malam itu, suspek warga tempatan berusia 38 tahun ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Sri Indah diketuai oleh Asisten Superintendan Asran Julkarnain.

Suspek ditahan polis dalam serbuan di sebuah pondok di kawasan Kampung Wakuba, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika tiba di pondok berkenaan, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba untuk melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, suspek berjaya ditahan polis selepas kawasan berkenaan dikepung.

“Pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemui satu bekas warna hijau yang didalamnya mengandungi 11 peket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki syabu.

“Anggaran berat dadah syabu yang dirampas iaitu 2.40 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|