Liga Super: 5,000 tiket sudah terjual aksi terakhir Sabah FC di laman sendiri

Liga Super: 5,000 tiket sudah terjual aksi terakhir Sabah FC di laman sendiri

Kota Kinabalu: Lebih 5,000 tiket perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Likas musim ini membabitkan Sabah FC menentang Penang FC, Jumaat ini, sudah terjual setakat hari ini.

Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata, sambutan perlawanan yang dijadualkan bermula pada jam 7.30 malam itu amat menggalakkan.

Katanya, penonton yang berminat untuk menyaksikannya secara langsung digalakkan supaya masuk seawal jam 5 petang.

“Ia bagi mengelakkan kesesakan terutamanya di pintu masuk stadium yang akan membanjiri Stadium Likas bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Sabah FC.

“Setakat ini, lebih 5,000 tiket perlawanan sudah terjual dan kita menjangkakan lebih ramai peminat serta penyokong Sabah FC akan hadir pada perlawanan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shamsudin berkata, ini adalah perlawanan laman sendiri yang terakhir dalam Liga Super musim ini.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, semua pihak bagaimanapun perlu terus mematuhi aspek keselamatan termasuk langkah pencegahan penularan Covid-19.

Katanya, penyokong juga digesa supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak sesekali membaling botol atau sampah masuk ke dalam kawasan padang.

“Kita sekali lagi mengalakkan penonton yang hadir supaya memakai pelitup muka sepanjang perlawanan.

“Penonton juga tidak dibenarkan membawa botol minuman, payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|