Wanita tawar rumah sewa tidak wujud, ditahan

Wanita tawar rumah sewa tidak wujud, ditahan

Kota Kinabalu: Seorang wanita ditahan, semalam, selepas dikesan melakukan penipuan dengan menawarkan rumah sewa yang tidak wujud kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Wanita berusia 39 tahun terbabit ditahan polis pada kira-kira jam 8.30 pagi selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal, suspek didapati menawarkan rumah sewa di Beverly Hills, Jalan Bundusan, di sini, menerusi laman facebook.

Katanya, mangsa yang bertemu dengan suspek di Kepayan Ridge kemudiannya membuat pembayaran secara tunai sebanyak RM1,500 sebagai bayaran deposit.

“Suspek berjanji bahawa mangsa boleh mula tinggal di rumah berkenaan pada 17 September lalu namun tidak memberikan alamat rumah atas pelbagai alasan.

“Suspek akhirnya gagal dihubungi dan mangsa terus membuat laporan polis selepas menyedari dirinya tertipu oleh wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku menawarkan rumah sewa berkenaan kepada mangsa dan menerima wang deposit untuk kegunaan sendiri.

“Siasatan masih diteruskan dan polis percaya ada beberapa lagi laporan membabitkan suspek akan menyusul,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakam sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihati orang ramai terutamanya penuntut IPT supaya sentiasa berhati-hati dalam urusan sewa rumah.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya mudah percaya kepada iklan yang terpapar di media sosial.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang pembayaran sebelum memastikan rumah sewa berkenaan benar-benar wujud,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|