Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti kembali November ini

Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti kembali November ini

Kota Kinabalu: Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBTR) akan kembali bulan November ini dengan menampilkan barisan pakar-pakar antarabangsa dan jumlah peserta yang lebih ramai, dalam usaha mempromosikan destinasi luar bandar.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, acara itu memberikan peluang kepada operator pelancongan dan produk pelancongan luar bandar untuk sama-sama membincangkan dan menambah baik pakej destinasi luar bandar untuk pasaran baharu.

Menurutnya, acara itu merupakan anjuran bersama-sama STB dan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bersempena Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) ke-6.

Acara itu akan berlangsung selama tiga hari, bermula pada 27 November, dan dijangka akan menarik kira-kira 3,000 pelawat domestik dan antarabangsa.

“Objektif kita bukan sahaja menyasarkan masyarakat tempatan, tetapi juga untuk mempamerkan tawaran pelancongan kawasan luar bandar kita kepada perwakilan WTC, dengan harapan ia akan menggalakkan mereka melancong ke destinasi-destinasi ini sepanjang keberadaan mereka di negeri ini.

“Menjadi matlamat kita bahawa CBTR pada kali ini akan menawarkan pengendali pelancongan luar bandar kita dengan pendedahan yang diperlukan dan meletakkan tarikan tersembunyi kita ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar negeri, mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Utama CBTR 2022 yang diadakan buat pertama kali.

Sementara itu, WTC ke-6 akan berlangsung di SICC pada 28-30 November dan seramai 700 peserta antarabangsa dan domestik dijangkakan akan menghadiri persidangan itu yang juga merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan dan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO).

Manakala, CBTR akan disertai oleh 27 daerah dan 11 sub-daerah; pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan swasta; dan persatuan berkaitan pelancongan, antara lain.

“Ruang pameran itu akan menampilkan dan memasarkan produk pelancongan baru di setiap daerah dan sub-daerah di Sabah, dengan kerjasama pejabat daerah dan persatuan pelancongan daerah berdaftar.

“Ia juga berhasrat untuk menyerlahkan keunikan kebudayaan Sabah, makanan tradisional, dan kraftangan.

“Di samping itu, terdapat forum antarabangsa mengenai pelancongan berasaskan komuniti yang memaparkan penceramah tempatan daripada negara-negara jiran, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Joniston berkata, dengan tujuan untuk menyediakan sumber pendapatan alternatif kepada penduduk luar bandar, konsep pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini telah berkembang pesat, sejak penubuhannya pada 2014 dengan projek perintis di Kiulu dan Kadamaian.

Jelasnya, konsep ini dilihat sebagai salah satu produk luar bandar yang paling kuat di negeri ini.

“Pihak STB memainkan peranan penting dalam membantu meluaskan konsep ini ke daerah-daerah lain, yang telah menghasilkan beberapa pengendali pelancongan berasaskan komuniti yang menerima penghargaan untuk pengiktirafan antarabangsa.

“Sabah kini mempunyai lebih daripada 100 pelancongan berasaskan komuniti dan dianggap sebagai perintis inisiatif tersebut dengan beberapa negeri di Semenanjung telah menghantar delegasi untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan konsep tersebut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|