24 pasukan sertai kejohanan bola sepak Mimpaagat Borneo 9s

24 pasukan sertai kejohanan bola sepak Mimpaagat Borneo 9s

Penampang: Sebanyak 24 pasukan termasuk dari luar negeri bakal berentap pada kejohanan bola sepak sembilan sebelah veteran Mimpaagat Borneo 9s 2022 di Stadium Penampang, 15-16 Oktober ini.

Ia adalah kejohanan julung kali anjuran Kelab Rekreasi Mimpaagat Tokou Sabah dan mendapat sokongan tajaan dari Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta kerjasama Pejabat Daerah Penampang dan Majlis Daerah Penampang.

Setiausaha penganjur, Eddy Limbang berkata, kejohanan itu juga diikthiraf Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

“Kejohanan seumpama ini adalah julung-julung kali diadakan di Penampang. Penyertaan pasukan dari luar negeri tentunya menjadikan kejohanan ini berprestij.

“Sehubungan dengan itu, kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai terutamanya peminat bola sepak di daerah Penampang dan sekitarnya datang menyaksikan kejohanan ini,” kata Eddy.

Beliau berkata, kejohanan itu adalah salah satu aktiviti kelab bagi menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat terutamanya dikalangan pemain-pemain bola sepak veteran.

“Pada masa yang sama, dengan membuka penyertaan kepada pasukan luar negeri, ini adalah sedikit sumbangan kami menyokong usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi sukan pelancongan.

“Sambil itu, ia juga bertujuan menambah dana agar kelab dapat meneruskan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang khususnya dalam sukan, rekreasi dan kebajikan,” kata Eddy.

Kejohanan itu mempertandingkan dua kategori iaitu Master untuk pemain berusia 45 tahun ke atas dan Grandmaster (55 tahun ke atas). Pertandingan dijalankan secara liga dua kumpulan (Kumpulan Menang dan Kumpulan Kalah).

Johan Kumpulan Menang akan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan medal manakala naib johan menerima RM3,000, trofi dan medal.

Johan dan naib johan Kumpulan Kalah akan menerima trofi dan medal. turut disediakan adalah hadiah bagi penjaring terbanyak setiap kategori.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|