Polis tahan tiga suspek samun bersenjata parang

Polis tahan tiga suspek samun bersenjata parang

Tawau: Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata berkumpulan di Kampung Balung Cocos, di sini, berjaya ditahan dalam tiga serbuan berasingan, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 38 hingga 44 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 6.30 pagi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek dikesan menyamun seorang lelaki kira-kira jam 1 pagi, pada 23 Ogos lalu.

Katanya, mangsa yang sedang tidur di rumah didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang yang bertindak mengikat tangan serta kaki mangsa.

“Kumpulan suspek kemudiannya melarikan barangan peribadi milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM90,000 termasuk barang kemas.

“Berdasarkan laporan mangsa, polis terus melancarkan siasatan dan berjaya menahan suspek dalam tiga serbuan berasingan di kawasan Inderasabah dan Balung,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek pertama berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang 60 Inderasabah.

Manakala katanya, dua lagi suspek ditahan di dua lokasi berasingan di Kampung Rancangan Batu 22 bersama barang rampasan.

“Hasil siasatan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada tiga suspek terlibat dengan pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Suspek pertama pernah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Manakala suspek kedua pula memiliki rekod jenayah dan dadah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12(3), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.

Jasmin berkata, pihaknya menyifatkan penahanan ketiga-tiga suspek berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah agresif dan berbahaya di daerah Tawau.

Katanya, polis akan menggiatkan usaha bagi mengesan penjenayah dan pesalah dadah yang lain melalui operasi-operasi dari masa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|