Dua lelaki dipenjara 30 dan 13 tahun kerana merompak bersenjata dan cubaan merogol

Dua lelaki dipenjara 30 dan 13 tahun kerana merompak bersenjata dan cubaan merogol

Kota Kinabalu: Dua lelaki masing-masing dihukum penjara 30 tahun dan 13 tahun atas kesalahan merompak seorang wanita secara bersenjata dan melakukan jenayah seksual terhadap mangsa ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh pertama, Awang Mohammad Fazrie Said, 25 turut dihukum rotan tiga sebatan, manakala tertuduh kedua, Hafis Durahaman, 30, dikenakan empat sebatan.

Kedua-dua mereka yang bersenjatakan pisau dituduh merompak telefon bimbit jenis iPhone 7 Plus dan wang tunai RM200 milik seorang wanita berumur 35 tahun antara jam 9 pagi hingga 10 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Penampang pada 25 Ogos lalu.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 10 tahun dan satu sebatan terhadap kedua-dua tertuduh selepas kedua-duanya mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Awang Mohammad Fazrie turut menerima enam tahun penjara dan satu sebatan atas kesalahan cubaan merogol mangsa di tempat dan waktu yang sama.

Tertuduh juga dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan lagi atas kesalahan melakukan seks luar tabii dengan memasukkan zakar ke mulut mangsa di tempat dan waktu yang sama.

Azreena memerintahkan hukuman penjara bagi kesalahan seksual dilaksanakan serentak, manakala hukuman secara berasingan bagi kesalahan rompakan bersenjata.

Tertuduh kedua pula turut dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan lagi atas kesalahan mencabul kehormatan mangsa yang sama ketika kejadian rompakan bersenjata berkenaan ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret.

Majistret Stephanie Sherron Abbie memerintahkan hukuman penjara berkenaan dijalankan serentak dengan hukuman penjara bagi kes rompakan bersenjata.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Awang Mohammad Fazrie dihukum penjara 24 bulan lagi atas kesalahan menyimpan telefon bimbit curi milik seorang wanita lain.

Awang Mohammad Fazrie mengaku salah di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim kerana melakukan kesalahan itu pada jam 8.40 malam, 30 Ogos lalu di pekarangan Stesyen PETRONAS Kampung Bakut, Tuaran.

Berdasarkan fakta kes rompakan bersenjata, kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja didakwa memasuki rumah mangsa di Penampang dengan berpakaian jaket gelap dan memakai helmet pada kira-kira jam 10 pagi, 25 Ogos lalu.

Ketika itu, mangsa dikatakan sedang tidur di bilik sebelum Awang Mohammad Fazrie masuk dan memintanya mendiamkan diri selain ditumbuk tiga kali di muka dan diugut akan ditikam jika menjerit atau melawan.

Tertuduh kemudian cuba merogol mangsa dan melakukan seks luar tabii dengan memasukkan zakarnya ke mulut mangsa sebelum Hafis memasuki bilik terbabit dan meminta mangsa menunjukkan lokasi wang dan barangan kemas disimpan.

Mangsa kemudiannya memberikan wang tunai RM200 dari dalam dompet yang disimpan di bilik komputer di rumah berkenaan.

Hafis turut mencabul mangsa dengan memegang payudaranya sebelum kedua-dua tertuduh meninggalkan mangsa dan sempat melarikan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 7 Plus milik mangsa.

Berikutan laporan polis dibuat mangsa selepas kejadian itu, Hafis ditahan polis di sebuah rumah sewa di Kampung Kibabaig, Jalan Datuk Panglima Banting, Penampang pada jam 7.30 malam, 29 Ogos lalu, manakala Awang Mohammad Fazrie ditahan pada jam 8.40 malam, 30 Ogos lalu di Kampung Bakut, Tuaran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Adibah Saiful Bahri, DPP Nur Faezah Jafry dan Inspektor Albert Basiri, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|