Legenda bola sepak bakal meriahkan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ

Legenda bola sepak bakal meriahkan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ

Kota Kinabalu: Kejohanan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ yang mengumpulkan ramai legenda bola sepak bakal menemui peminat di negeri ini pada 16 hingga 18 September ini.

Kejohanan yang diadakan sempena Hari Malaysia itu disertai lapan pasukan antaranya dua pasukan dari Sabah dan masing-masing satu pasukan dari Johor, Selangor dan Sarawak.

Peter bersama Abdul Kassim dan barisan pemain jawatankuasa Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ.

Selain itu, kejohanan turut disertai pasukan dari tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Pengerusi Penganjur Bersama Kejohanan, Datuk Peter Anthony berkata, kejohanan besar yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM358,000 itu pertama kali dianjurkan di Sabah.

Katanya, kejohanan membabitkan pemain veteran campuran itu akan memberi peluang kepada peminat sukan bola sepak untuk menyaksikan pemain bintang yang pernah mewarnai kancah bola sepak dalam dan luar negara.

“Setakat ini, semua pasukan terlibat sudah mengesahkan penyertaan dan menghantar senarai pemain mereka.

“Antara yang menarik perhatian adalah seperti pemain Fandi Ahmad dari Singapura, Matlan Marjan, Jelius Ating dan Burhan Ajui serta beberapa lagi pemain bertaraf bintang satu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat JawatanKuasa Kejohanan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kejohanan Bersama Datuk Abdul Kassim Razali dan barisan jawatankuasa kejohanan Piala SMJ.

Peter berkata, juara bagi kejohanan berkenaan akan menerima hadiah bernilai RM120,000, manakala tempat kedua serta ketiga masing-masing akan menerima hadiah sebanyak RM70,000 dan RM50,000.

Katanya, proses undian akan dijalankan pada minggu hadapan dan perlawanan pertama akan diadakan pada 16 September ini di Stadium Likas, di sini.

“Perlawanan pembukaan yang akan membabitkan pasukan Sabah itu bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Peminat yang ingin menyaksikan secara langsung boleh hadir ke Stadium Likas dan kemasukan adalah percuma,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|