Polis KK selesai kes bunuh dalam tempoh 24 jam

Polis KK selesai kes bunuh dalam tempoh 24 jam

Kota Kinabalu: Suspek yang diburu selepas membunuh seorang lelaki di sebuah kawasan semak di Jalan Kionsom Lama, Inanam, di sini, malam tadi, berjaya ditahan, hari ini.

Suspek berusia 43 tahun terbabit yang dipercayai menjerut leher mangsa menggunakan wayar itu ditahan di rumah sewanya di Kampung Bambangan, Inanam, di sini, jam 11.20 pagi tadi.

Pasukan forensik memeriksa mayat mangsa yang ditemui di kawasan semak, Jalan Kionsom Lama, Inanam, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang berkerja sebagai tukang cat kenderaan turut ditahan bersama telefon pintar milik mangsa.

Katanya, ketika ditahan, suspek juga membuat pengakuan terlibat dalam kes kematian membabitkan mangsa berusia 25 tahun terbabit.

Lokasi mayat mangsa ditemukan di di kawasan semak, Jalan Kionsom Lama, Inanam, Kota Kinabalu.

“Berdasarkan pengakuan dan barangan yang dirampas, polis percaya kes bunuh seorang lelaki di kawasan semak di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, malam tadi, selesai sepenuhnya.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan sebelum pendakwaan terhadap suspek dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berada di lokasi kejadian.

Dalam kejadian malam tadi, mayat mangsa ditemui isteri dan ahli keluarga yang keluar mencarinya kira-kira jam 8 malam.

Mohd Zaidi Abdullah berkata, susulan laporan diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi untuk siasatan lanjut.

Suspek yang bekerja sebagai tukang cat ditahan polis di rumah sewanya di Kampung Bambangan, Inanam.

Katanya, operasi turut dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Siasatan awal, mangsa dikatakan dihantar bapanya ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan seorang pemilik bengkel pada kira-kira jam 1 petang.

“Selepas itu, mangsa dikatakan sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya namun usaha mencari mangsa selepas itu gagal menemuinya,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Kecemasan Hospital Likas mengesahkan mangsa dipercayai mati dalam tempoh lebih enam jam sebelum ditemui akibat dijerut di leher.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) bagi tujuan bedah siasat selepas mendapatkan keputusan ujian saringan Covid-19.

“Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|