Kampus baharu Kolej Profesional MARA dibina di Beaufort

Kampus baharu Kolej Profesional MARA dibina di Beaufort

Bangi: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan pembinaan dua kampus baharu Kolej Profesional MARA (KPM) iaitu di Beaufort, Sabah dan Kapit, Sarawak.

Katanya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memperkasakan sektor pendidikan menerusi pembinaan insititusi pendidikan di kawasan luar bandar di dua negeri ini.

Mahdzir ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPLB, di kampus induk German-Malaysian Institute (GMI), Selangor.

“Kita merancang untuk membangun serta memperkukuhkan lagi sektor pendidikan dengan membina beberapa lagi institusi pendidikan di kawasan luar bandar yang strategik iaitu pembinaan dua buah kampus baharu Kolej Profesional Mara di Beaufort, Sabah dan sebuah lagi di Kapit, Sarawak.

“MARA akan terus memperkasakan akses kepada pendidikan berkualiti dalam meningkatkan modal insan berkemahiran masa hadapan bermula dari peringkat sekolah menengah hingga ke peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di kampus induk German-Malaysian Institute (GMI), di sini, semalam.

Turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir lagi, MARA juga akan membina tujuh lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tahun ini yang akan melibatkan penambahan pengambilan pelajar seramai 4,350 orang.

“Antara kawasan pembinaan MRSM baharu itu adalah di Ranau, Sabah, Bintulu dan Lawas, di Sarawak, Ketereh dan Tanah Merah, di Kelantan; Sik, Kedah serta Dungun di Terengganu,” katanya.

Selain itu, Mahdzir berkata, MARA juga akan membina dua Pusat GIATMARA di Limbang dan Batang Lupar di Sarawak.

“MARA akan terus memperkasakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET.

“Program TVET MARA akan ditambah baik berdasarkan permintaan industri dan set kemahiran baharu yang menitikberatkan tiga aspek utama iaitu penyelesaian masalah kompleks, reka bentuk dan pengatucaraan teknologi.

“Bagi merealisasikan inisiatif ini, MARA akan mewujudkan lima Industry Centre of Excellence (ICOE) bersama pemain industri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|