131,458 individu berumur 18 hingga 20 tahun di Sabah layak mengundi pada PRU-15

131,458 individu berumur 18 hingga 20 tahun di Sabah layak mengundi pada PRU-15

Kota Kinabalu: Seramai 131,458 individu berumur 18 tahun hingga 20 tahun di Sabah layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,667,061 pengundi berdaftar di Sabah yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 17 Januari lalu.

Berdasarkan statistik berkenaan, pengundi paling ramai terdiri daripada golongan berusia 21 hingga 29 tahun, iaitu 404,588 orang.

Pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun yang berjumlah 391,927 orang pula adalah golongan pengundi kedua tertinggi di Sabah, manakala seramai 15,542 orang adalah pengundi berusia 90 tahun dan ke atas iaitu golongan pengundi paling sedikit dalam daftar pemilih.

Sementara itu, Sepanggar dikenal pasti sebagai kawasan Parlimen yang mencatat bilangan pengundi berdaftar paling ramai di Sabah dengan 105,969 orang, diikuti Lahad Datu (98,505 orang) dan Tawau (86,972 orang).

Di Labuan, seramai 44,319 orang pengundi berdaftar dalam senarai pemilih terkini bagi satu-satunya kawasan Parlimen di pulau berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 3,296 orang adalah pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada September 2020, seramai 1.12 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN berkenaan dengan 1,103,646 adalah pengundi biasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|