Polis FRM Kota Kinabalu pantas berkas suspek, temui semula wang tunai RM185,744

Polis FRM Kota Kinabalu pantas berkas suspek, temui semula wang tunai RM185,744

Kota Kinabalu: Tindakan pantas pasukan First Response Motorcycle (FRM) Balai Polis Kota Kinabalu, berjaya menahan seorang lelaki selepas memecah kereta dan melarikan wang tunai bernilai RM230,744, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa pemilik kereta Nissan Almera berusia 40 tahun itu dikatakan parkir di tempat letak kereta di hentian bas di Likas Square, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

Difahamkan, ia bertujuan untuk mengambil wang hasil jualan perniagaan runcit keluarganya di dalam bangunan berkenaan.

Kejadian hanya disedari mangsa ketika kembali ke keretanya apabila mendapati alat penggera kenderaannya berbunyi dan cermin dipecahkan.

Kereta Proton Iswara yang digunakan suspek turut ditahan. Pix Ihsan IPD KK

Mangsa kemudian menyedari dua beg berisi wang tunai kutipan perniagaannya bernilai RM230,744 dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian disedari orang awam yang mendakwa suspek dilihat memecahkan cermin pemandu sebelum mengambil dua beg dan terus melintas jalan.

Katanya, orang awam kemudian memaklumkan kejadian itu kepada anggota FRM yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Orang awam menahan motosikal anggota FRM dan memaklumkan kejadian itu sebelum bertindak mengejar kereta suspek yang cuba melarikan diri.

“Anggota FRM kemudian memintas dan menahan kereta Proton Iswara dinaiki dua lelaki di tepi jalan di Jalan Teluk Likas, berhampiran sebuah sekolah.

“Anggota FRM terus menahan pemandu kereta namun seorang lagi suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan sempat melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek berjaya menemui wang tunai sebanyak RM185,744 manakala baki wang sebanyak RM45,000 dibawa lari oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan mendapati suspek yang ditahan berusia 56 tahun manakala suspek yang masih bebas sudah dikenalpasti sebagai Fredius George berusia 33 tahun.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan siasatan masih diteruskan.

“Suspek terbabit sudah dikenalpasti dan maklumat telah disalurkan pada semua elemen yang bertugas di lapangan bagi mengesan suspek yang masih bebas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, serta sebatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|