Bot pam meletup, mangsa masih belum ditemui

Bot pam meletup, mangsa masih belum ditemui

Semporna: Pasukan penyelamat masih belum menemui bot pam yang meletup dan mangsa yang terbabit dalam kejadian di perairan Tatagan, di sini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada pengadu yang juga pegawai Pemulihan Marin Semporna pada jam 11.38 pagi hari ini berkaitan kejadian itu.

Katanya, pengadu memaklumkan bahawa dia menerima satu mesej daripada rakannya bahawa berlaku satu letupan bot pam di perairan berkenaan, semalam.

“Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain ke lokasi kejadian untuk mengesahkan kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati, saksi kejadian yang juga lelaki tempatan yang sedang memukat ikan mengatakan ternampak dan terdengar satu letupan kuat berlaku pada bot pam pada jarak kira-kira 200 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan di kawasan dalam radius dua batu nautika di lokasi namun sehingga kini belum ditemui bot yang meletup dan penumpang bot masih hilang.

“Usaha SAR menyelamat kini sedang giat dijalankan oleh lima agensi terlibat termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Taman-Taman Sabah (TTS) serta nelayan tempatan.

“Pihak polis menasihatkan mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga tampil ke IPD Sempoorna atau balai polis terdekat untuk melaporkan kehilangan dan juga saksi yang nampak kejadian tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah di talian 0198139851 atau 089782020,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|